Aku yang dah terlambat cepat berkejar untuk mendapatkan bas yang lalu di depan rumah Emak petang itu. Bas terakhir untuk ke Mersing pada jam 4.45 petang. Waktu tu dah pukul 4.00 petang.
'Ya Allah...selamatkan lah hambaMU ini...' aku ucap dalam hati sambil membuat tap dancing sementara menunggu bas Kampung Melayu itu. Bila nampak sahaja muncung bas memasukki simpang arah ke rumah Emak itu...aku cepat mencapai tangan Emak dan menciumnya. 'Pergi dulu Mak!' Aku menjerit sambil melintas untuk menunggu sebelah sana jalan.
'Baik-baik!' Emak pula menjerit mengingatkan.
Memang macam tu la selalunya. Kalau hari Sabtu masa nak balik ke rumah Emak tu, rasa tak cukup tanah. Habis kerja jam 12.45 aje aku dah melangkah laju ke arah setesen bas. Tapi bila nak balik semula bekerja...masyaAllah....berat betul kaki ni.
Bas yang berhenti di simpang empat kawasan Tanah Perkuburan itu aku tahan untuk turun di situ sahaja. Kalau aku terus ke setesen bas di bandar tu nanti tentu tak sempat untuk mendapatkan bas terakhir ke Mersing pula. Jadi dari tadi aku dah berkira untuk turun di simpang situ menahan bas ke Mersing yang memang akan melalui jalan besar itu juga. Alhamdulillah....akhirnya aku sempat juga.
Nampak gayanya orang tidak begitu ramai petang itu. Maka aku mengambil tempat di bahagian tengah dan duduk sendirian untuk melayani hati setelah meninggalkan Emak tadi. Terbayang Emak yang melambai-lambaikan tangannya semasa aku sudah menaiki bas Kampung Melayu tadi. Sedih pula rasa di hati.
Entah bila aku terlalai agaknya...sempat terlelap kot? Pasal bila aku tersedar bas tu dah dipenuhi orang. Ada sorang mamat yang terpacak berdiri di sebelah aku.
'Boleh saya duduk?' Dia tanya meminta izin kerana kerusi yang kosong di sebelah aku letakkan beg.
Cepat aku mencapai beg pakaian ku dan ku pangku.
Mamat tadi terus melabuhkan punggungnya. 'Terima kasih.'
'Sama-sama.' Aku jawab malas. Malu sebenarnya kerana aku rasa mamat tadi dah tengok aku yang tertidur sebab tu dia hanya berdiri menunggu untuk meminta izin dari ku.
'Oh! Awak orang melayu ye?' Dia bersuara bertanya.
Aik? Aku berpaling sembilan puluh darjah memandang mamat yang bersuara. Dia ingat aku orang apa? Tak kenal ke?
'Ingat amoi tadi...' Jari telunjuk dan matanya sama memandang aku dari atas ke bawah.
Kebetulan aku memakai cheongsam dengan skirt sempit sampai ke betis. (Itu pesen awal tahun lapan puluhan) Rambutku disiput dua kiri dan kanan. Tak sangka pulak dah menyerupai cina jaman dedulu. Makanya aku ni memang berkulit cerah. Dengan pernyataan mamat itu tadi, aku memandang diriku sendiri. Patut la.........
Aku hanya melemparkan senyuman.
'Pergi mana?'
Isy! Mamat ni.... 'Bas ke Mersing...pergi Mersing la...' buat bodoh pulak dia.
'Kerja sana ke?'
Aku senyum lagi. Malas nak layan sebenarnya. Aku ni kan lepas balik bercuti kerana majlis pertunangan. Emak dah pesan macam-macam masa tunggu bas depan rumah tadi.
'Kenapa tak pakai cincin tu?' Emak bertanya semasa aku bersalam di tangga rumah dia nampak jari ku kosong.
'Tak payah la Mak...longgar.' Aku beri alasan. Masa zaman aku dulu semua urusan untuk majlis bertunang dan nikah kahwin ni orang tua yang urus. Jadi cincin tunang yang disarungkan ke jari manisku itu memang longgar gila. Entah saiz berapa agaknya.
'Pergi ambil....pakai.' Emak mengarahkan. Tu yang aku jadi lambat tadi. Dah siap keluar rumah kena masuk balik cari cincin yang dah ku simpan dalam laci almari bilik.
'Saya Jalal...' Mamat sebelah memperkenalkan diri.
Aku senyum lagi. Lepas tu dia diam aje sebab aku hanya memandang ke arah luar tingkap. Bukan ada pemandangan yang menarik pun. Hutan aje. Tapi aku sedang memutar kembali ingatan ke majlis pertunangan yang baru berlangsung dua hari lepas.
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment