Semenjak dua menjak ni asyik nak menonton berita aje. Suka betul nak tengok video yang ditunjukkan bagaimana tsunami melanda Jepun tu. Memang hebat! Kuat betul kuasa air...aku kagum gila.
Padahal tsunami ni dah pernah berlaku sejak dulu pun tapi tak ambil perhatian sangat dan tak glamour la barangkali masa tu kan? Liputannya pun kurang. Sejak dia melanda Banda Acheh tu baru AKU celik mata dan menghadap TV siang malam menunggu berita terkini jika ada gegaran susulan yang boleh membawa tsunami lagi. Eee...tak baiknya. Macam suka pulak melihat negara orang tu ditimpa musibah.
Tsunami tu bahasa Jepun yang bermaksud ombak besar, kan? Kalau tak tahu punca kejadian dan tak ada yang merakam dari jarak jauh atau dari tempat yang tinggi, mungkin kita rasa macam banjir besar la. Kisah banjir besar ni, aku pernah alami semasa aku tinggal di 13 Jalan Anggerik pada tahun 1969, lama dulu............
Aku masih ingat, masa tu hari terakhir Ramadhan. Ayah, Abang dan Ngah sedang memasak ketupat di luar belakang rumah. Cuaca yang terang hari tu tiba-tiba bertukar menjadi hujan panas dan berterusan. Dalam hujan yang renyai-renyai berterusan itu kami tidak menyangka air akan naik dengan cepat. Ayah, Abang dan Ngah dah mula mengalih tempat merebus ketupat masuk ke dalam rumah.
Air yang naik dengan cepat itu sudah mula masuk ke dalam dapur kami juga. Hairan? Cuma hujan renyai sahaja...dari mana datangnya air ni? Riuh rendah suara jiran tetangga di luar yang menjerit meminta tolong anak-anak agar menyelamatkan barang-barang rumah dari ditenggelami air yang deras masuknya itu. Kemudian itu baru hujan lebat turun tanpa henti. Aku di tangga dapur hanya mampu melihat sahaja. Dua orang adik ku Jude dan Lela yang bermain di rumah atas makin seronok kerana bila dia melompat, air akan memancut masuk dari celah-celah lantai papan rumah atas itu.
Kakak ku Uda...sibuk menyelamatkan balang biskut raya yang dibuatnya bersama kakak ipar ku di rumah sebelah sahaja itu. Ada tujuh belas macam biskut yang dibuat Uda pada tahun itu. Maklum la...dia kan baru meningkat remaja semua yang ada dalam majalah Wanita itu habis dicuba.
Ayah cepat mendukung Jude dan Lela untuk dibawa ke tempat lebih tinggi dalam rumah itu sahaja. Nak ke mana lagi waktu itu kerana tiada amaran banjir langsung. Macam tsunami yang tiba-tiba melanda tak beri salam. Aku menghadap tingkap rumah kampung yang luas terbuka itu. Air sudah separas pinggang ku walau di bahagian atas rumah. Dapur kami memang dah tenggelam yang paling dalam....dalam sejarah banjir yang pernah aku alami.
Sedang aku leka memandang air yang deras itu, sebuah besen besar berwarna merah seakan tegak hanyut ke arah ku. Bila dia tersangkut di tepi tingkap itu aku cepat memegangnya. Uda tolong tarik masuk ke dalam. Isi besen itu dipenuhi dengan barang-barang dalam tin. Tapi yang aku paling ingat, ada setin besar Milo. Aku dan Uda keseronokan dapat barang dapur percuma kami hari itu.
Ayah dah menjerit suruh kami berdua naik ke atas para yang dibuat untuk tempat kami bertenggek sementara menunggu air surut, kerana ada sebuah reban ayam yang dipenuhi ayam sedang hanyut menghala ke rumah kami. Alhamdulillah. Mujur dia hanya melalu bahagian depan rumah sahaja. Namun, air yang deras itu membawa reban yang dipenuhi ayam yang sedang mengelupur di dalamnya itu ke bahagian dapur rumah jiran kami nombor 15. Bahagian dapurnya yang kukuh dan teguh itu habis dirempuh oleh reban ayam tadi dan membawanya hanyut bersama.
Ketika melihat kejadian itu, kami dah mula merasa takut. Terdengar sayup suara Pak Lah jiran sebelah melaungkan azan setelah rumah dapurnya dihanyutkan air. Aku lihat Ayah menitiskan airmata. Apa tidaknya di hari akhir Ramadhan yang sepatutnya disambut dengan meriah itu, kami didatangkan mala petaka. Bagaimana kami hendak berbuka dan berhariraya esoknya? Habis semua barang dah ditenggelami air, tak sempat nak diselamatkan.
Lewat waktu maghrib, air mulai surut. Kami hanya mampu duduk bertenggek macam ayam di dalam gelap. Kedengaran bunyi enjin bot yang datang untuk membantu dan memberi bantuan. Tapi kami sekeluarga tidak mengikut pindah kerana air sudah pun mulai surut menjelang malam. Ayah, Emak, Abang dan Ngah dah mulai sibuk mengemas dan mencuci rumah bahagian atas dengan menggunakan air banjir itu sahaja.
Pengalaman itu membawa aku memahami perasaan mereka yang melalui saat berlakunya tsunami. Walaupun kehilangan harta benda itu boleh dicari ganti, bagaimana pula dengan mereka yang kehilangan ahli keluarga? Terbayang di ruang mata ketika melihat tangan yang terkapai-kapai itu cuba memegang dahan pokok durian di depan rumah Pak Mat yang bernombor 14. Air yang berarus deras itu terus menolak dan menghanyutkan mangsa entah siapa. Sadisnya!
Di pagi Syawal...tanpa berbaju raya, terdengar suara sorakan gembira dari kawan-kawan dan jiran tetangga yang memperoleh habuan mereka. Ada yang terjumpa dengan kotak-kotak kasut yang berjenama BATA yang elok diikat, barangkali untuk diselamatkan, namun kedainya juga hanyut dibawa air. Ada yang terjumpa dengan kain baju dari kedai jahitan. Ada pula yang terjumpa dengan barang dapur dari kedai runcit. Aku yang memerhati gelagat mereka, bersyukur kerana rumah kampung kami itu masih utuh dan kukuh.
Junie Octovian: Ini kisah benar yang diceritakan dari versi pengalaman ku ketika itu.
No comments:
Post a Comment