March 25, 2011

Ingin Jadi Halimunan?

Hari ini aku ingin berkongsi cerita yang aku ada sementara masih ingat. Manalah tau...esok-esok aku dah tak ada, sekurang-kurangnya cerita arwah Ayah akan diturunkan kepada anak cucu untuk dijadikan cerita dogengan pula. Arwah Ayah ku banyak cerita dan petua. Dia suka bercerita semasa aku membantu Emak memotong akhbar harian untuk dilapiskan dengan daun pisang sebagai pembungkus Nasi Lemak.

Waktu itu Emak selalu dapat tempahan Nasi Lemak dari Taukeh Cina pembuat taugeh. Bila dah cuba pertama kali, dia minta dibekalkan setiap hari. Emak suka aje kerana dia tidak perlu keluar rumah untuk berniaga. Cuma diantara kami kenalah pergi menghantar ke tempatnya. Mungkin Ayah hendak menghilangkan rasa bosan ku waktu itu, maka Ayah mula bercerita yang macam-macam. Kalau dia mula dengan cerita yang berciri seram, aku sampai tertidur dalam timbunan sisa daun pisang akibat takut untuk masuk ke bilik.

Satu malam tu aku bertanya Ayah pasal orang halimunan. 'Ada ke Yah orang halimunan?'

'Adaaa...'Ayah jawab panjang sambil menggulung rokok daunnya.

'Macam mana pulak orang boleh tak nampak dia?' Masa tu aku masih dalam Darjah Lima, kalau tak silap la.

'Dia ada ilmu la tu.' Ayah beritahu sambil menghembus asap rokoknya.

'Macam mana Yah nak dapatkan ilmu tu?' Aku yang sedang mengelap daun pisang jadi seronok nak tau.

Ayah berpaling sembilan puluh darjah memandang wajahku. 'Ingat senang ke?' Ayah menjongkitkan bibir atas seakan mengejek aku. 'Apasal tanya?'

'Saja....Ayah tau tak macam mana caranya?'

'Mula-mula...pergi cari sarang burung tukang.' Ayah mematikan api rokoknya. Dia bersila dan menarik dulang kopi dekat dengannya.

'Dalam sarang burung tukang tu ada arang. Ambil arang tu. Kemudian tunggu bila ada kematian, cukur bulu kening dan dilukiskan dengan arang dari sarang burung tadi.' Ayah meneguk kopi yang dah tak panas lagi.

Aku pula teringatkan Uda yang semenjak dua menjak waktu itu sudah pandai mencabut bulu kening. Masa tu aku baru balik dari sekolah petang, dia di bilik berair mata. Aku yang muda lima tahun dari Uda hanya memerhati, mana la tau kalau-kalau dia menangis kerana dimarahi Emak. Rupanya kerana sakit mencabut bulu keningnya itu.

'Lepas tu buat apa Yah?' Aku bertanya kerana Ayah lambat benar nak menyambung ceritanya. Asyik nak menggulung rokoknya aje. Tadi baru habis hisap satu...habis secawan kopi dah gulung lagi satu.

Sesudah menyedut asap rokoknya tadi, baru dia nak cerita lagi.........
'Tunggu masa orang mandikan mayat tu, ramai setan akan bersuka ria bermain dengan air mandian tu....dalam banyak-banyak tu ada seorang penghulunya yang datang berjubah putih.'

Aku renung wajah Ayah...'Kita boleh nampak ke?'

'Orang yang conteng keningnya tadi itu aje la yang nampak.'

Aku mengangguk. Bulu roma di tengkuk ku dah mula meremang. Aku mengengsot sila makin rapat dengan Emak yang sedang menggentel kuih bom.

'Perhatikan kat mana dia sangkut jubahnya itu. Bila dia sedang asyik bermain dengan air mandian mayat tadi, cepat-cepat curi jubahnya bawak lari.'

Aku beliak mata memandang Ayah. Mak ai! Payahnya. Sampai nak kena main curi-curi pulak. Kalau kena kejar macam mana? 'Kalau dia nampak dan kejar kita macam mana?'

'Kena lari arah ke kolam atau sungai dan terjun. Masa menyelam tu padam arang yang buat conteng kening tadi sampai hilang.' Ayah mengajuk siap dengan aksi sekali. Cerita Ayah jadi tambah hangat dengan Emak sekali tak jadi nak ke bilik air mencuci tangan. Dulu...mana ada singki di dapur. Baru aku ingat sekarang...Emak pun penakut juga rupanya.

'Bila arang tu dah dicuci bersih...kita tak nampak dia, dia pun tak akan nampak kita. Pakai la jubah dia tu...orang tak akan nampak kita pulak.'

Payah juga tu...mana nak cari sarang burung tukang? Woodpecker la dalam bahasa omputihnya. Orang sekarang mandikan mayat di hospital, sempat ke nak berlari cari kolam atau sungai yang berdekatan? Nak kena main kejar-kejar pulak dengan penghulu setan tu. Isy! Tak usah je la....

Junie Octovian: Ini cuma cerita arwah Ayah...bagi pengunjung blog yang nak mencuba silakan lah.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...