March 13, 2011

The Incredible Kakak ~ sambungan ~

'Awak tak nak bawak pergi hospital ke?' Tanya Puan Hajah Noriah. Isteri kepada bos suamiku yang memang sukakan budak.

'Tak payah la...tak ada apa-apa pun.'

'Pukul berapa tadi masa dia makan benda tu?'

'Pagi...pasal benda tu dah jadi putih.'

'Dia tak alah kot?'

'Harap-harap jadi ubat la kan?'

Puan Hajah Noriah senyum. 'Apa la awak ni.' Dia memukul perlahan bahuku.

Alhamdulillah! Sebab itu la agaknya dia boleh jadi Incredible Kakak. Kisahnya bermula begini..........

Anak sulung sudah ke sekolah, suamiku sudah ke pejabat...tinggal Angah lagi bersiap untuk ke Tadika Belia Bell Tamil, di Ladang Gedung, Bagan Serai, Perak semasa kami tinggal di sana sekitar akhir lapan puluhan dahulu. Aku sepertibiasa ketika si kecil masih nyenyak tidur, akan bersilat sendirian di dapur menyediakan 'brunch' untuk suamiku yang memang dah pesen suka makan nasi terus waktu minum paginya jam 10.30 nanti.

Nasib baik aku banyak pembantu. Sementara mesin basuh menjalankan tugasnya, aku menanak nasi. Ikan, sayur yang terpilih untuk menjadi hidangan hari itu sudah ku keluarkan dari peti ais. Aku ke ruang tamu untuk bahagian mengemas pula sebelum si kecil bangun. Kusyen-kusyen kecil yang terperuk sana sini habis ku kutip dan ku tepuk-tepuk untuk mengembalikan ke bentuk sedia asalnya. Kemudian aku menarik vacuum dari dalam almari bawah tangga. Segala selit sepit bahagian ruang tamu itu akan ku pastikan bersih kerana si kecil akan ku tempatkan di situ waktu aku memasak nanti.

Oleh kerana ambal yang ku gunakan di bahagian ruang tamu itu berwarna cerah tanpa corak, maka, aku dapat pastikan memang bahagian itu sudah bersih dan selamat untuk meletakkan si kecil di situ.

Sambil sibuk memasak, sesekali aku menjengah ke ruang tamu memerhati keadaan si kecil. Tekun benar dia menonton cerita Pak Pandir Moden yang papanya rakamkan untuk dia itu. Entah dah berapa kali ulang pun dia tak akan pernah jemu dan tak beralih dari situ. Aku kembali meneruskan tugasku.

Siap masak aku bancuhkan sebotol susu. Kali ini aku dapatlah sama menonton sementara menunggu suamiku pulang untuk makan paginya. Aku suakan botol susu itu pada si kecil, dia hanya pandang tapi tak nampak berahi padanya. Aku angkat dan ku riba...aku suakan botol ke muncungnya. Dia masih mengetapkan gigi tidak mahu membuka mulutnya.

'Eh budak ni! Apasal tak nak menyusu pulak?'

Puas ku pujuk dan diagah supaya dia membuka mulut, namun dia seakan mengelak dengan berpaling kiri dan kanan.

'Ada apa dalam mulut ni? Cuba nganga bagi mama tengok.' aku pujuk dia. Namun dia masih enggan membuka mulutnya. Lalu aku picit hidungnya dan bila dia payah nak bernafas...dia pun membuka mulutnya. Aku masukkan jari telunjuk untuk meraba apa yang ada di situ yang menyebabkan dia tidak mahu menyusu tadi. Dapat! Aku cungkil dia keluar dengan telunjukku tadi.

'Lembik aje...apa ni?' Aku letak atas meja kopi nak mengenal pasti benda apakah yang dimakan oleh si kecil tadi. Aku kan nak jadi CSI? Bila di letakkan di situ, benda alah itu kelihatan bergerak. 'Apa ni?' Aku tanya diri sendiri sambil menguis-nguis benda alah tadi dengan hujung jari.

Serta merta aku teringatkan ulat bulu yang sering sesat masuk ke rumah ku itu. Tapi ulat bulu yang selalu masuk tu kan warnanya hitam dan ada sedikit kuning? Yang ini putih aje macam ulat sagu? Agaknya dah lama si kecil kemam dalam mulut sampai hilang warnanya barangkali, aku memikir sendiri.

Sepatutnya suamiku dah pulang untuk makan pagi, tapi hari itu pulak dia rupanya ada meeting. Aku ingat nak adukan pada dia. Kebetulan Puan Hajah Noriah yang call tadi beritahu tentang meeting yang diadakan, aku pun cerita pada dia. Tanpa berlengah, dia datang ke rumah. Kami sama saling berpandangan selepas itu.....

Junie Octovian: Untuk tetamu blog yang membuat lintas langsung tu...kalau teringin nak mencuba tu...BAIK JANGAN!

2 comments:

  1. andak.....susah nak baca la layout baru ni...ehehhehhehe

    ReplyDelete
  2. Belle...sorry la. Andak tengah kemas kini nak cari lay out yang menarik sikit. Thanks 4 ur comment.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...