March 22, 2011

Aku dan Doktor Gigi... ( sambungan )

Selepas menghantar Adik ke sekolahnya di Kota Kemuning, aku terus ke UNISEL menjemput Kakak. Balik ikut Guthrie Expressway terus ke Kota Kemuning semula menjemput Adik yang dah habis paper pada hari itu. On the way balik ke Setia Impian, Angah pula call beritahu dia dah sampai di Klang Sentral, maka aku pun round the world satu hari itu.

Dalam perjalanan tadi aku dah beritahu anak-anak, 'Mama tak masak apa-apa pun lagi tau. Nanti kita keluar makan la ye?'

Anak-anak semua menganggukkan kepala kerana dia faham akan tugasku. Tapi jauh di sudut hati aku ralat juga kerana semenjak aku berumahtangga, memang aku akan memasak untuk menyambut walaupun Hariraya Qurban.

'Tak apa...esok mama masak Nasi Briyani aje. Ketupat tak sempat ni...daun pun tak ada.' Aku beritahu mereka. Masa tinggal di estate dulu, boleh je suruh orang carikan. Masa di Pondok Indah, boleh minta Cik Nab atau Uteh belikan. Itupun kalau kebetulan Uteh tak beraya di Kelantan. Di Setia Impian ni, siapa yang di suruh?

Sampai kami di rumah aku terpandang anak angkat yang sama tidak pulang beraya terbaring kesakitan. Mungkin kerana beliau tu lelaki, maka tidak la dia menjerit terpekik terlolong.

'Masih sakit ke?'

Dia mengangguk sambil memegang belakang kepalanya.

'Dah pergi hospital?'

Dia menggeleng, 'Tak sempat...banyak kerja.'

'Tak apa la...jom kita keluar makan. Mak cik tak sempat masak la. Penat.'

Malam itu aku berempat beranak dan beliau keluar makan. Aku perhatikan beliau yang hanya memesan mee hoon tomyam itu tidak begitu berselera pula. Sekali dia menghirup kuahnya, sekali itu juga dia bangun mencari  tandas. Loya tekak agaknya, bisik hatiku.

Di rumah malam itu, beliau hanya berbaring di bilik. Angah di meja makan, tekun menghadap komputer ribanya. Manakala aku pula, ke hulu dan ke hilir dalam dapur mengemas dan menyediakan apa yang perlu untuk memasak Nasi Briyani yang ku janjikan untuk menyambut Hariraya Aidiladha, keesokan harinya.

Tiba-tiba...beliau keluar dari bilik. Dia berdiri tegak di hadapan Angah sambil membuat bahasa isyarat. Angah bulat mata merenung apa cuba disampaikan oleh beliau.

'Seven E?'

Beliau mengangguk.

Maka Angah membawa beliau ke Seven Eleven. Nasib baik di situ dah ada Seven Eleven. Kalau tidak mana nak cari barang di waktu-waktu malam begitu?

Aku jadi hairan bin ajaib. Memang pelik penyakit beliau ni sampai tak mampu berkata-kata. Nasib baik pulak si Angah tadi faham bahasa isyaratnya. Tapi...sepanjang perjalanan pulang dalam kereta tu aku dah menceritakan kisah beliau kepada anak-anak.

Oleh kerana beliau pun tak minta bantuan apa-apa, aku jangkakan sakit kepala biasa-biasa sahaja. Walaupun dia masih muda dan pangkat anak pada ku, aku tak berani la nak pegang sana pegang sini. Paling tidak aku boleh tolong hantarkan ke hospital jika perlu.

Masa itu anak sulungku yang menjadi kawan baiknya, sudah pun berumah tangga dan tinggal berasingan dariku. Kalau tidak tentu dia berani mengadu akan sakitnya itu padanya.

Pagi Hariraya Aidiladha........
Angah dah bersiap untuk ke masjid. Aku pula sedang menyiapkan juadah pagi raya. Beliau yang bangun kemudian, bersiap juga berbaju melayu hijau lumut yang aku belikan untuknya semasa dia menjadi pengapit pengantin dulu.

'Angah mana?' Beliau bertanya.

Aku yang sedang mengacau ayam briyani di atas dapur berpaling terkejut...........

                                                                                                                 ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...