Cuti sekolah datang lagi...
Selesai makan pagi, aku hidangkan pula kopi cap Tv kegemaran suamiku. Bekalan, kami perolehi terus dari kilangnya di Kluang, Johor. Setiap kali pulang ke Simpang, kami juga akan ke rumah emak di Kluang. Kebetulan kilang pembuat kopi tu dalam perjalanan ke situ.
Sambil menghirup kopi panasnya, 'Nak bawak budak-budak pergi mana cuti ni?' Dia tanya aku di sebalik cermin matanya di pangkal hidung.
'Dapat cuti ke?' Aku tanya dia balik.
'Mana ada cuti...assistants semua dah apply awal-awal.'
'Habis tu tanya...nak suruh I bawak?'
'Ala...hari minggu ni kita bawak ke Zoo aje la. Dia orang mesti suka.' Suamiku menghirup kopinya lagi.
Zoo? Aku memang la tak berahi langsung nak ke Zoo. Tengok binatang yang terkurung...kalau ke Afrika terus tu sedap juga. Baru ada thrill. 'Banyak je tempat lain...kenapa nak ke Zoo?'
'Kesian dia orang tu tak kenal binatang. Yang dia orang tahu cuma kucing, ular, monyet, anjing dan burung yang mereka selalu nampak. Tengok hari tu...' suamiku mengingatkan satu kisah...........
'Papa kuda!' Angah yang suka berdiri di tengah tempat duduk antara aku dan papanya dalam kereta terjerit bila tetiba seekor lembu kurus berlari melintas jalan di kawasan Kemunting semasa kami dalam perjalanan ke bandar Taiping.
Aku dan suami berpandangan kerana dia pun terpaksa membrek memberi laluan kepada lembu kurus tadi.
Abang Long yang khayal membaca buku Sesame Streets di tempat duduk bahagian belakang sama berdiri nak melihat the so-called kuda.
'Bukan kuda la sayang...itu lembu' kata suamiku menerangkan.
'Kuda!' Dia merasa sangat yakin. 'Tengok dia ada ekor.'
'Lembu pun ada ekor juga.' Jawabnya tidak mahu kalah.
'Lembukan ada tanduk!' Dia balik nak ajar kita.
'Itu lembu muda.' terang suamiku. '...macam Angah, kecik lagi tak ada misai...nanti dah besar macam papa baru tumbuh misainya.'
Mendengar penerangan itu, dia terus duduk. Kecewa.
Suamiku terus menyambung perjalanan kami selepas dia sudah duduk dan tidak bertanya lagi.
'Kurusnya lembu tu?' Tanya si Abang yang dari tadi hanya mendengar sahaja.
'Itu lembu Noor Kumalasari' Jawab suamiku selamba.
Aku cepat berpaling memandang. Ei? Noor Kumalasari tinggal dekat sini? Mana dia tau?
Suamiku senyum sumbing. Mungkin dia mengerti melihat mukaku yang berkerut. 'Kurus macam Noor Kumalasari lah.' Terangnya.
Ooooo...aku terangguk-angguk macam burung belatuk. Banyak benda dia boleh buat perbandingan. Kenapa waktu itu terlintas di fikirannya pelakun Noor Kumalasari tu?
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment