March 28, 2011

Pertemuan...( Part 2 )

'Minggu depan hari Isnin kena ambil cuti...' Tiba-tiba Emak beritahu semasa kami sedang makan tengahari.

'Eh! Baru je kerja...takut nak cakap dengan bos mintak cuti...' aku pandang Emak. Emak pula dah membulatkan mata dan tangannya terhenti dari menyuap nasi ke mulut. Statik. Aku dah cuak. Emak aku ni kalau kita dengar kata dia, hendak apa aje...dia akan turutkan. Tapi bila silap pangkah...'siap kau ku kerjakan.'

Aku pandang Ayah...dia peduli pun tidak. Lantak engkau la Emak dengan anak..nak berbincang gaya yang macam mana pun asalkan jangan berparang pulak.

'Kenapa?' Ayah tak menjawab. Aku pandang Emak semula... '...ada apa Mak?'

'Ai? Bukan awak yang nak kawin?' Mata Emak macam dah nak keluar laser. 'Habis tu kalau rombongan meminang tu datang bawak cincin nak sarungkan pada siapa?'

Aku terbahak. Aku urut dada sendiri. Pernyataan 'bukan awak yang nak kawin' tu memang belum masuk dalam kamus hidup aku masa tu. Bila masa aku ada sebut nak kahwin? Aku sempat memutar ingatan dengan dahi yang berkerut-kerut. Dengan siapa? Pegawai Felda sebelah kanan rumah ni ke? Atau anak mak cik Kamariah sebelah kiri ni ke? Atau Zainal anak Pak Rahman tu ke? Atau Man Tonggek tu ke? ( Beliau ni dapat gelaran kerana memakai motor besar ala-ala motor lumba tu. Zaman dulu tu di kawasan kampung situ memang tak ada orang yang pakai. Bila lalu depan rumah aku tu dengan sengajanya dia membunyikan enjin motor tu lebih kuat untuk manarik perhatian.)

'Emak dah terima lamaran dia orang tu...dua kali dia hantar wakil. Ayah cakap kalau tak terima karang, takut awak tu yang ikut dia lari bawak tikar bantal. Kahwin percuma je..'  Emak beritahu sambil mata masih tajam merenung ku. 

Dada ku dah berombak pantas. Mak ai! Siapa la gerangan manusia yang sangat berani datang berjumpa Emak yang garang bagaikan singa lapar itu? Nak tanya siapa pun aku tak mampu membuka mulut, padahal itukan urusan untuk masa depan hidup ku? Tapi kalau berurusan dengan Emak...baik tak usah la. Dalam hati aku memanjat doa semoga pilihan Emak dan Ayah itu baik untuk ku nanti.

Ketika di dalam bas petang itu...ibu jari kanan memutar-mutar cincin di jari manis. Mata masih memandang ke luar melihat hutan rimba sepanjang perjalanan pulang ke Mersing. Esok di pejabat, pasti aku kena sakat......

                                                                                                                   ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...