March 14, 2011

Mari Mengenali Haiwan ~ sambungan ~

Hari minggu yang dimaksudkan pula kami ke rumah Ngah di sebuah perkampungan di Kuala Pilah. Ngah yang ditugaskan ke situ waktu itu untuk pengambilan pelajar matrix, entah macam mana pulak boleh teringin nak merasa duduk di kawasan perkampungan. Dah beberapa kali dia mempelawa kami ke rumah kampungnya itu.

Mungkin kerana aku tak berapa nak menyokong usul suamiku untuk membawa anak-anak melawat ke Zoo, maka dia pun mengajak kami ke Kuala Pilah.

Memang kampung betul ni, bisik hatiku ketika sampai ke situ. Rumah yang bentuknya ala-ala Minang dengan bumbung yang sedikit melentik di hujung dan tiangnya yang tinggi boleh dijadikan rumah dua tingkat ni. Tak tau mengapa dia orang reka rumah macam tu sedangkan rasanya tempat tu tak kena banjir. Bahagian rumahnya pula rendah sahaja. Bukan orang dulu-dulu tu tinggi-tinggi ke? Kalau aku yang rendang ni sesuai aje la...untuk suamiku terpaksalah dia menundukkan kepalanya tika hendak masuk ke rumah.

Anak-anak girang bermain di luar yang lamannya memang luas. Di kelilingi pokok-pokok kelapa yang tumbuh merata. Mungkin tumbuh sendiri tu...sayang pulak nak ditebang kerana buahnya boleh dijadikan pendapatan juga.

'Jangan!' Tetiba suara Ngah sedikit menjerit melarang anak sulungku dari memungut buah kelapa yang bertaburan di pangkal pokok.

Aik? Semua kepala berpaling ke arah suara dan beralih pandang pula ke arah anak sulungku.

Kenapa Ngah ni? Anak aku tu cuma nak tolong mengutip aje. Lagipun buahnya dah siap berkopek kulit. Bukan aku nak bawak balik pun?

Selepas melarang anakku tadi, Ngah terus mengatur langkah mendekati anak sulungku yang dah terkedu di situ. 'Ni bekas babi hutan yang kopek. Tengok!' Ngah menunjukkan buah kelapa itu dengan tongkatnya. 'Babi hutan memang pandai kopek kelapa...licin dan bersih. Yang bersepah dekat pangkal pokok ni semua babi hutan punya kerjalah. Pak Ngah pun jiran sebelah tu yang beritahu.'

Anak-anakku dan yang lelain ternganga-nganga mendengar penjelasan dari Pak Ngah mereka.

'Papa!' Angah pula menjerit sambil menunjuk ke arah paya jauh di bawah bukit.

Kini mata semua beralih memandangnya dengan tangan yang lurus menunjuk ke arah kawasan paya.

'Ada gajah...'

Wah! Ni betul duduk dalam Safari ni...siap ada babi hutan dan gajah semua. Kami pun tekun memandang kelibat yang bergerak merentas anak-anak kayu di kawasan paya itu.

Laaa....semua suara seakan kecewa.

'Itu kerbau la sayang....'suamiku cepat memberitahu. '...bukan gajah. Gajah kan ada belalai? Ni kerbau...tengok tu dia ada tanduk.'

Angah kecewa lagi. Sudah dua kali dia tersilap menilai haiwan. Padahal di rumah tu ada aje buku mengenai haiwan semua ni. Mungkin tak pergi tengok sendiri tu lain sikit kot?

'See...I told you. We need to take them to the Zoo.' Suamiku sedikit berbisik memberitahu.

Kena pergi Zoo juga? Aaaaaaaaaaaaaaaa....aku menjerit dalam hati. Maka minggu berikutnya mahu atau tidak, aku terpaksa mengikut rombongan ke Zoo pula.

Riuh di dalam kereta suamiku bercerita bertanya anak-anak binatang apa yang mereka suka. Sampai giliran Adik...

'Adik suka buaya!' Dia menjerit memberitahu dengan bangganya. Mungkin dia selalu tengok di TV rancangan Steve Irwin yang berani menangkap buaya tu.

'Adik tengok buaya macam mana?' Suamiku bertanya.

Adik menggaru kepala yang tak gatal. Tak tahu nak memberitahu gaya yang bagaimana. 'Macam mana ma?' Dia balik bertanya aku.

'Merangkak..' aku jawab santai. Confident gila.

'Kalau sambil berdiri tak boleh ke?' Suamiku berpaling bertanya dengan muka yang dah nak gelak tergolek.

Eh? Aku berpaling lipat maut memandang wajahnya yang senyum sampai ke telinga. 'Buaya kan merangkak?' Aku mengingatkan.

'I tanya tengok buaya macam mana. Bukan tanya buaya tu bergerak macam mana?' Dia dah terkekek-kekek ketawa. 'Ada ke nak merangkak...buat malu kita aje kan Dik?'

Sampai di bahagian buaya dalam Zoo, aku perasan suamiku asyik mengerling memandang aku. 'Ada apa?' Aku bertanya garang. Tadi kan dah malu?

'Takkk...' Dia menjawab panjang. '...nak tengok kalau-kalau ada orang yang nak merangkak tengok buaya.'

Junie Octovian: Memang haru. Aku tak bercakap sepanjang perjalanan pulang walau anak-anak semua sangat berpuas hati dengan lawatan mereka ke Zoo dalam sesi mengenali haiwan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...