Beliau si pesakit tadi masuk wad hari Jumaat. Aku datang melawatnya lagi hari minggu kemudian. Ketika itu hujan lebat dan bandar Diraja tu dah mula banjir. Sampai di sana, kawalan malam itu agak ketat. Cuma dua orang sahaja yang dibenarkan masuk melawat. Maka...anak-anak ku membiarkan aku dan teman rapat beliau untuk naik ke wad beliau di tingkat 8.
Memang keadaan di wad tersebut penuh dengan pesakit. Katilnya agak rapat diantara satu dan yang lain. Selepas bertanya dengan jururawat yang bertugas di situ malam itu, kami ditunjukkan ke katil beliau.
Dari jauh beliau sudah melemparkan senyuman. Nampak macam tak ada apa-apa pun...tapi bila aku cuba berinteraksi dengan beliau, dia menekan sesuatu di keypad telefon bimbitnya dan menunjukkan kepada kami untuk membacanya. Namun apa yang beliau cuba sampaikan itu juga tidak nyata maksudnya.
Aku tak faham langsung. Tapi aku dekati beliau dan meletakkan tapak tangan di dahinya merasakan hangat tubuhnya. Ternyata beliau demam. 'Ubat makan tau...nanti sihat cepat dapat balik.' Aku memujuk sambil mengerling meja sisinya yang menempatkan sebuah buku latihan dan sebatang pen.
Dalam hati berkata...beliau sudah tidak dapat berkata-kata dengan lancar akibat sawan yang menyerangnya berpunca dari sakit kepala dahulu itu barangkali.
Dia mengangguk sambil tersenyum.
'Mak cik nak balik dah ni...Angah, Kakak dan Adik ada kat bawah. Guard tu tak kasi masuk ramai-ramai. Mereka kirim salam aje. Nanti mak cik datang lagi.'
Beliau senyum sambil mengangkat tangan melihat aku dan temannya si Apis yang beredar dari situ.
Seminggu itu aku memang tidak dapat melawatnya kerana Adik masih menduduki peperiksaan. Tapi aku bertanya dengan kengkawannya yang pergi menziarah beliau bertanyakan akan keadaannya ketika itu. Aku diberitahu abangnya telah membawa dia bertukar ke PPUM kerana saudara mara beliau ramai di situ dan mudah untuk mereka berulang alik.
Hari minggu berikutnya...Apis yang pulang memberitahu akan berita terkini. 'Jangan risau la mak cik...dia okey je...tak lama lagi keluar la tu.'
Aku yang mendengar menganggukkan kepala. Namun hatiku tak mengatakan OK...dah seminggu kot? Mereka masih tak tau ke apa penyakit yang dihadapi beliau itu? Masih dengan alasan 'ujian darah sedang dijalankan'. Lembabnya!
Malam itu kami dapat berita lagi...'beliau diserang jantung kerana ubat yang diberi untuk penyakit sawannya'. Doktor telah menasihatkan orang terdekat memperbanyakkan doa dan bersedia menerima apa jua kemungkinan sekiranya beliau terkena serangan jantung lagi. Ketika itu, beliau sudah berada dalam keadaan KOMA.
Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata. Badanku merasa sakit sana sini. Pusing kiri tak kena..pusing ke kanan pun tak sedap juga. Hati memanjat doa...semoga Angah yang balik ke Skudai dengan bas ekspress tadi sampai dengan selamatnya.
Jam 1.15 pagi itu aku menerima panggilan telefon. Cepat aku menekan butang hijau dan melekapkan ke telinga. 'Hello'
'Puan Junaidah...saya kakak Zafuan. Nak beritahu dia dah meninggal jam 12.00 tengahmalam tadi.'
Aku tak toleh kiri kanan...terus berdiri sambil bertanya lagi, '...dekat mana dia sekarang?'
'Di PPUM, mereka nak pindahkan ke bilik mayat untuk urusan seterusnya.'
'Baik...saya bertolak sekarang.' Aku terus turun ke bawah mengetuk pintu bilik yang didiami oleh temannya Apis.
'Nape mak cik?' Tanya Apis sambil menggosok mata.
'Teman mak cik ke PPUM sekarang. Tohe dah meninggal.' TOHE itulah nama gelarannya di rumah kami. Entah apa maksudnya aku sendiri tak tahu... tapi yang nyata...setiap kenalan yang rapat dengan beliau memanggilnya dengan nama tersebut.
Emak aku, Ngah, Uteh, Ucu Lela dan si Yaya pun memanggilnya dengan nama TOHE. Malah dia sendiri kalau menelefon aku akan mengenalkan dirinya, 'Mak cik...Tohe ni.'
Berita itu cepat aku sambungkan ke setiap kenalan rapatnya sehingga si Boy yang tinggal di Seremban juga. Aku call Firdaous memberitahu aku dalam perjalanan ke PPUM kalau-kalau dia nak ikut sama. Maka aku suruh Apis yang memandu pagi subuh itu ke Seri Hijauan menjemput Firdaous. Adik yang duduk di kerusi bahagian belakang dah sot sat sot set menangis kesedihan. Angah yang menelefon selamat sampai ke Skudai juga ku khabarkan. Dia sedikit ralat kerana dia sudah pulang ketika berita itu diterima. Kakak juga sudah pulang ke UNISEL...hanya sering bertelefon bertanya perkembangan yang berlaku tentang berita itu.
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment