Aku mengetuk pintu bilik nombor 2 dan menolaknya perlahan. Ada dua orang perempuan di situ yang memakai kot putih dan bertutup mukanya. Hanya nampak dua biji mata sahaja.
'Assalamualaikum.'
'Waalaikumsalam.' Dua mereka menjawab serentak.
'Puan baring di sini.' Yang seorang memberi arahan.
Aku mengikut sambil mata tegak memandang lampu putih di atas yang menyuluh terang ke muka.
'Ada masalah apa puan?' Tanya seorang yang sedang mengenakan sarung tangan getahnya.
'Biasa la orang tua ni...gigi dah mula nak tanggal. Ni geraham bungsu bawah kanan..' Aku memberitahu sambil memegang ppi kanan. '...saya dah cuba nak cabut sendiri, tapi sakit gila. Macam ada jarum yang mencucuk dalam kepala.' Aku yang memang ramah tu tak tanya pun siap beri penerangan lagi. Kalau kena orang yang tak suka tentu dah dijelingnya aku 180 darjah.
'Mana boleh cabut sendiri puan...gigi tu akarnya panjang dan ada tisu-tisu yang mencengkam kuat.' Doktor Gigi memberi penjelasan. Ada hati mak cik ni nak cabut sendiri...mungkin begitu dalam hatinya berkata. 'Bagi saya periksa semua dulu ye? Puan nganga besar-besar.' Dia mengarahkan. Di tangannya terdapat dua peralatan kiri dan kanan. Sebelah tangan dengan peralatan yang berupa kanta pembesar dan sebelah lagi berupa jarum yang digunakan untuk memeriksa jikalau terdapat gigi yang sudah berlubang. Ternyata gigi aku semuanya baik-baik belaka tapi ada dua batang lagi yang disebut sebagai 'mobile' ketika dia memeriksa dan yang seorang lagi mencatat apa yang dikata.
'Okey...puan nak cabut yang mana ni?'
Isy! Yang mana? Ada lagi la tu yang bakal kena cabut, bisik hatiku. Itulah akibatnya suka memakan bebenda yang keras. Aku memang minat makan jenis yang keras...kalau tidak pun minta makanan tu digoreng garing. Hah! Padan muka. Geraham tu masih cantik tak rosak dan berlubang pun tapi gusi tu yang dah tak kuat nak menahannya.
'Yang kanan bawah ni la...dah rasa goyang sangat. Gosok gigi pun payah.' Aku beritahu Doktor yang baik dan mesra tu.
'Saya injek ubat kebas dulu ye?'
Aku menganga aje la...dalam hati Bismillah ku baca tanpa henti. Tiga kali aku rasa jarum tu dicucuk sebelah menyebelah untuk memberi kesan kebas ketika gigi itu ditarik keluar nanti.
'Okey..Puan tunggu di luar dulu, nanti kami panggil lagi.'
'Terima kasih.' Aku meninggalkan bilik itu dan menunggu di kerusi sebelah luar. Ketika itu Adik sudah siap dengan rawatannya. Dia cuma minta buat scaling aje.
Seketika aku rasa pipi kanan ku bengkak macam lepas disengat lebah. Bibir pun dah rasa macam bibir Angelina Jolie. Lidah dah rasa kebas macam orang kena stroke. Aku mengadu pada Adik di sebelah. Tapi Adik cakap macam biasa aje. Perasaan aku la tu.
'Puan Junaidah!' Nama ku dipanggil lagi.
Aku masuk dengan perasaan sedikit berdebar. Mana la tau? Kalau-kalau sakitnya sampai ke otak macam yang aku cuba buat di rumah?
'Nganga.' Pinta Doktor Gigi yang masih muda itu.
Aku menganga kali ini dengan bacaan Ayat Kursi di dalam hati siap dengan mengucap dua kalimah syahadah. Aku nampak Doktor Gigi mencapai alat yang berupa plier kecil.
'Okey...gigit kapas ni kuat-kuat.' Kata Doktor Gigi yang dah siap dengan tugasnya.
'Sudah?' Aku bertanya sebab aku tak rasa apa-apa pun. Dalam beberapa saat sahaja Doktor Gigi menjalankan tugasnya.
'Dah! ...Ni puan bawa kad ke kaunter depan dan bayar seringgit.'
Aku ucapkan terima kasih sambil mata memandang geraham bungsu di atas tray. Panjangnya!
Alhamdulillah. Memang tak berasa langsung. Cuma semasa dia suntik ubat kebas tu aje meleleh juga air mata aku akibat kesakitan. Lain kali boleh datang lagi, dalam hatiku berkata.
Kami pulang dengan hati yang senang. Adik tak perlu ke klinik pergigian untuk tiga ke empat tahun lagi. Cuma kena jaga giginya dengan baik sahaja. Mungkin waktu itu nanti depan rumah kami di Setia Impian dah ada klinik sendiri agaknya kerana tapaknya sudah ada. Walaupun ke seksyen 7 tu tidak la jauh mana pun. Kami cuma dikenakan bayaran seringgit untuk rawatan, manakala di klinik swasta waktu terakhir kami buat pemeriksaan gigi...untuk scaling seorang lapan puluh hengget. Kalau cabut?
Junie Octovian: Tentu yang menjadi doktor gigi dan membuka klinik sendiri tu kaya orangnya.
No comments:
Post a Comment