'Esok ambil Hana...kan birthday dia?' Adik berborak sambil kami bertiga makan malam. Kebetulan Kakak tak ke Fitness Class.
'Mama masak pulut kuning sikit la... Abang dengan Kak Nat mesti tak celebrate esok sebab dia orang kerja.' Aku beritahu Kakak dan Adik. Lepas tu kami banyak bercerita kisah klinik gigi yang baru kami lawati.
'Akak nak juga...' Pinta Kakak yang tak mengikut sama ke sana.
'Tak payah...gigi elok jaga je. Tadi doktor tu kata lepas tiga atau empat tahun baru Adik boleh pergi lagi.' Beritahu si Adik pula. 'Sakit kot buat scaling tu...ngilu!'
'Tak jaga betul-betul...muda lagi nanti dah kena pakai gigi palsu.' Aku mengingatkan.
Tak semena-mena Abangnya call beritahu Hana dihantar ke Ampang di bawah jagaan neneknya. 'Dia merengek malam-malam payah nak jaga.'
Nasib baik dia beritahu, kalau tidak tak pasal-pasal kami ke Seri Hijauan pula.
'Ah...boring la. Esok kita puasa je la.' Ujar si Adik.
'Boleh juga...ni puasa nazar untuk Angah belum buat lagi. Adik buat puasa bayar, mama buat puasa nazar.' Dah terdetik dalam hati untuk berpuasa kalau Angah dapat surat tawaran belajar tu. Semalam dia dah call beritahu...surat dah dapat dan banyak urusan yang perlu dibuat, katanya.
'Okey ON..'
'Set alarm pada handphone...nanti tak bangun sahur pulak.'
Adik set pukul 4.30 pagi. Maka aku yang dah lama tak bangun subuh hari itu tak sempat nak mengeliat kiri kanan terus je masuk ke bilik air mencuci muka. Aku mengetuk pintu biliknya mengejutkan sebelum turun ke bawah.
Di meja makan kami berborak kisah puasa pula. Toby, Kaka dan Ogy pun sama hairan melihat kami yang pada pagi itu bangun makan. Banyak kenangan kami di bulan puasa ni...semasa berbuka dan bersahur juga. Kalau dengan Uteh sewaktu di Pondok Indah, dari berbuka sampai jenguk waktu bersahur, tak habis lagi kami bercerita. Entah apa-apa aje...
Itulah kelebihan orang yang dah lama hidup agaknya. Banyak yang dah dilalui. Atau mungkin aku yang sudah tinggal dibanyak tempat, maka bermacam kisah dan ragam manusia yang aku perolehi. Yang nyata, kami memang tidak pernah tinggalkan sahur. Walaupun semasa anak masih kecil, mereka yang terbangun nak kongsi rasa waktu sahur kami biarkan sahaja.
'Siapa yang tak puasa tak boleh berbuka dengan orang yang puasa.' Beritahu Ngah semasa dia masih belajar di UM dulu. Emak pulak kalau berbuka tu rajin aje nak masak macam-macam. Tapi pengat pisang pasti ada...entah kenapa.
Nasib baik anak-anak ku tak berapa kisah, asalkan ada nasi. Macam perangai arwah papanya. Nasi itu penting. Orang melayu, katanya satu hari bila aku menegur keinginannya yang mahukan nasi di waktu jam sepuluh setengah pagi.
'Kerja macam kerbau...mana tahan makan kuih-muih semua ni?' Katanya lagi.
Kalau aku tegur tentang masakan yang asyik nak pedas aje, dia akan menjawab. 'Tak pedas mana sedap? Macam lembu makan rumput je.'
Aku pulak ada gastrik, mana boleh terantuk pedas. Tapi makan juga la sekali tak sekala tu...padahnya kena tanggung sendiri la. Pernah satu hari tu rasa nak bawak bantal ke tandas.
'Tak puasa ke?' Suara Ayah bertanya mengejutkan aku yang sedang enak mengopek kulit pisang emas, suatu ketika bertahun dahulu di 13 Jalan Anggerik. Masa itu aku dalam darjah tiga. Ayah yang pulang dari kerja petang itu menghulurkan seikat pisang emas untuk dibawa ke dapur. Aku yang baru bangun dari tidur dan keletihan itu terus mengopek dan makan, terlupa aku yang sedang berpuasa.
Aku terhenti dari mengopek kulit pisang dan menutup mulut yang masih lagi mengunyah pisang yang kedua tadi. 'Puasa.' Aku menjawab dengan mulut yang penuh.
'Batal tu...dah nak kenyang.' Ayah beritahu mengingatkan.
Aku menangis sambil membawa pisang ke dapur. Sedih betul kerana puasa dah batal sebab nanti tak dapat join orang berbuka.
Tapi yang paling best masa di Tennamaram...bersahur kami macam makan kenduri. Waktu itu Ramadhan jatuh dalam bulan Disember, dimana anak-anak semua sedang dalam cuti sekolah. Waktu sahur pun masih ada yang order mintak dimasakan lauk kari. Lepas tu sepanjang siang apa lagi? Sunyi sepi la...masing-masing baru nak jumpa bantal. Sepanjang malam selepas pulang terawih semuanya masih segar. Aku sahaja la yang mengikut jadual tidur seperti biasa kerana nak bangun masak untuk juadah sahur mereka.
Junie Octovian: Mudah-mudahan sahaja puasa ku hari ini berjalan lancar dan diberkati. Mudah-mudahan juga aku sempat berpuasa lagi di Ramadhan tahun ini. Insya Allah.........
No comments:
Post a Comment