March 19, 2011

Journal Day 1 (Part 2)

Jurnal ini ku tulis menerusi Microsoft Word dan disafe dahulu kerana talian internet menerusi Maxis Broadband tidak kuat untuk mengeditnya masuk ke blog. Aku semak blog dan terdapat komen dari Princess Belle yang rajin melayan ceritaku.

Thanks Belle...komen anda sangat membina. Aku sendiri pun perasan lay-out yang kedua selepas lama berada di suasana Perpustakaan itu memang payah untuk dibaca. Kononnya buku yang bersepah tu nak melambangkan si Penulis tu sedang mengemas dan menyusun atur Private Librarynya.

Lay-out ini pula melambangkan si Penulis sedang bercuti ala-ala dalam hutan gitu. Penulis pun kebetulan sangat gemarkan pokok-pokok buluh sebagai hiasan, tidak secara langsung ingin membawa pengunjung blog ke daerah yang sama merasai suasana sunyi sepi dan udara yang segar.

Kicauan murai pagi ini memang sedikit membingitkan telinga. Entah apa yang nak dikhabarkan agaknya. Kalau ikut kata emak, orang dulu-dulu la...ada berita yang nak disampaikan.

‘Ngah engkau nak balik ni..’ Teringat kata emak pada satu pagi berpuluh tahun dahulu ketika kami tinggal di 13 Jalan Anggerik. Pagi itu aku dan emak dalam perjalanan ke pasar.

‘Dia ada kirim surat beritahu ke?’ Aku tanya emak kerana aku tak tahu pun pasal berita ni? Biasanya Ngah akan hantar berita menerusi kiriman surat dalam tulisan Jawi kerana emak tidak pandai membaca dalam tulisan Rumi. Dulu....mana ada telefon di rumah apatah lagi telefon bimbit. Sistem hubungan kami memang menerusi surat. POSMEN merupakan orang yang sangat dinanti dan dihormati.

‘Tu murai beritahu.’ Emak menjawab dengan muka confident dan bersahaja.

Murai beritahu? Aku dongak ke kabel letrik sepanjang jalan di mana murai tadi seakan mengekori kami dan berkicauan terus. Tak dengar pun dia kata Ngah nak balik? Macam mana emak boleh dengar dia cakap macam tu?

‘Tak dengar pun dia cakap macam tu?’

‘Cuba dengar betul-betul...’

Aku pasang telinga untuk mendengar biji butir yang dikicaukan si Murai.




‘Hah! Kan dia cakap...Halid nak balik! Halid nak balik!’ Emak mengajuk lagu kicauan si Murai tadi.

Aku mengiyakan sahaja. Ye la tu...aku agaknya yang dah lama tak menggali lombong, bisik hatiku. Atau barangkali emak dah rindukan anak bujangnya yang sudah lama tidak pulang itu. Masa tu Ngah sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazahnya di UM. Masa dulu Ngah cuma akan balik masa cuti sem sahaja.

 ‘Jom! Cepat sikit. Nanti tempe dekat tempat Embok Bedah tu habis.’ Emak cepat memimpin aku dengan membuka langkah lebih besar. Hari ni nampak gaya kami berlaukan makanan feberet Ngah. Tempe goreng cicah dengan sambal kicap. Rebung masak cili api dengan babat. Tak tau kenapa Ngah suka lauk tu dan emak pun memang dah baca makanan kegemaran si anak.

Nak dijadikan cerita...kelibat Ngah jauh di hujung jalan muncul dengan langkah yang dihayun deras menjimbit sebuah beg pakaian.  Aku yang sedang bermain badminton di jalanraya depan rumah petang itu segera menjerit memanggil emak memberitahu apa yang emak katakan pagi tadi itu benar terjadi.

Emak yang berehat di anjung rumah memerhati kami bermain tersenyum lebar.

Ajaib kan? Aku yang belajar dari emak membaca berita yang disampaikan oleh murai itu sampai ke hari ini sedikit sebanyak dapat meramal apa yang ingin disampaikan oleh burung yang bernama murai itu.


Junie Octovian:  Anda...pengunjung blog pun mungkin juga boleh. Cuba la!

1 comment:

  1. my pleasure andak..... sentiasa setia bersama Blog kesayangan andak ni.... muahhhhhhhhhhh... teruskan menulis....belle sentiasa ingin dan terus ingin membaca.....

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...