March 23, 2011

Aku dan Doktor Gigi... ( Part 6 )

'Beritahu semua kengkawan dia...sebab kakak dia cakap jenazahnya nak di bawa pulang ke Penang. Kalau kita dah tengok dia di sini, tak payah nak ikut sampai ke Penang sana.' Aku arah Firdaous dan Apis. Memasing mencari nombor teman yang biasa lepak dan yang rapat dengan arwah.

Sampai di PPUM kami dah nampak kelibat beberapa orang teman arwah yang sudah sampai dan menunggu di situ untuk sama-sama ke bilik mayat. Cuma aku sahaja perempuan semasa itu bersama dengan kengkawan arwah yang semuanya lelaki yang seusia beliau. Adik tadi ditinggalkan dengan kakak iparnya di Seri Hijauan.

'Puan Junaidah ke?' Suara seorang lelaki yang menyerupai arwah datang mendekati.

'Ya saya..' aku menjawab.

'Emak saya nak jumpa dengan puan.' Ujar lelaki itu sambil menunjukkan ibu jarinya ke laluan untuk ke bilik mayat.

Suasananya yang sejuk, dinding yang bercat warna putih itu memang agak seram kalau masuk ke situ sendirian. Tapi di subuh pagi itu, bilik itu dipenuhi orang. Bertudung bagi perempuan dan bersongkok bagi lelaki.

Ibu arwah terus mendapatkan aku dan memeluk erat. 'Terima kasih la kerana mengurus anak saya selama ini.'


Aku sama memeluk dan menggosok belakang badan mententeramkan si Ibu yang baru kehilangan anak bungsunya itu. Jauh di sudut hati...aku lebih sedih lagi kerana di saat-saat akhir aku yang rapat dengan arwah...bercerita di meja makan waktu malam dan pagi semasa sarapan sebelum arwah bertolak ke pejabat.  Arwah juga sibuk membantu menyiapkan meja makan kalau aku sedikit lambat memasak tung tang tung tang di dapur.

Arwah juga kekadang ku suruh menghantar Toby ke klinik haiwan di Kota Kemuning bersama dengan Kakak. Dia yang mengikut aku juga dengan sukarela memandu sepanjang jalan ke Kuantan semasa kami menghadiri majlis perkahwinan anak saudaraku di sana. Namun, dia yang teringin ke kampungku di selatan tanah air itu tidak berkesempatan berbuat demikian. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

'Siapa nama penuh arwah tu?' Emak menelefon bertanya waktu zohor itu selepas mendapat berita. 'Nak sedekahkan Fatihah dan surah Yaasin untuk dia.'

Pagi itu aku sampai ke rumah elok azan subuh berkumandang. 'Dah pergi sorang umat Muhammad.' Hatiku berkata sambil merenung Wira di depan rumah yang sudah ditinggalkan oleh tuannya. Airmata berderai sendiri tanpa dipinta. Sedih itu baru terasa. Yang pergi menemui Ilahi itu meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan. Mengapa aku jadi pilihan?

Semasa di bilik mayat tadi aku diperkenalkan dengan setiap kaum keluarga dan saudara maranya. Rata-rata mereka tinggal di sekitar tempat kerja arwah. Mengapa dia tidak menumpang tinggal dengan mereka? Aku tak bertanya hanya memikir sendiri...tentu ada sebabnya. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu.

Nak meratap menyesali juga sudah tiada gunanya ketika tubuhnya dah terbujur kaku. Aku yang tiada berkaitan langsung dengan family arwah membaca hikmah yang cuba disampaikan. Di saat-saat akhir hayatnya dia bahagia bersama keluargaku, sedangkan Ibunya sendiri tidak berkesempatan begitu. Ibunya yang datang bersama abang si arwah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ku kerana menumpangkan anaknya dan mengurus makan pakai beliau. Aku hanya memerhati ketika barang-barang arwah diangkut pergi.

Toby pula tiba-tiba duduk di kerusi bahagian belakang kereta arwah...memang tak pernah dibuatnya selama itu. Mungkin hendak mengucapkan selamat tinggal kerana kereta itu akan dipandu pergi dari situ buat selamanya.

'Kosong Lima Enam Lapan!' Suara dari mesin itu memanggil mengejutkan aku dari lamunan yang mengheret aku ke tarikh 7 Disember 2009.

'Ma! Nombor mama la..' Adik pula menyiku aku yang merenung bilik putih tempat rawatan pergigian itu.

Aku belek nombor di tangan..0568. Aku pandang papan yang memaparkan nombor ku...bilik 2. Aku bangun dan menapak masuk ke bilik nombor 2.

                                                                                                                              ~ bersambung ~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...