'Angah dah pergi...kita orang tak kejut pasal ingatkan kamu tu sakit.' Aku menerangkan memberitahu. '..kamu boleh pergi ke?'
Beliau hanya mengangguk.
'Hah! Tak payah masjid jauh-jauh...yang dalam kawasan Setia Impian ni pun boleh.'
Beliau mengangguk lagi.
Balik dari masjid, aku dah menyiapkan hidangan di meja dan aku suruh Angah menjemput beliau makan. Sementara aku mengisi mangkuk bertingkat untuk dibawa ke rumah bakal mentua Angah yang menjemput kami ke rumah mereka untuk berjamu Nasi Dagang.
'Mak cik nak beraya ke Cheras..kamu berehat aje la di rumah. Makanan semua dah sedia atas meja, kalau nak makan nanti ambil sendiri. Nak ajak... kamu tak sihat pulak.'
Beliau mengangguk sambil tersenyum memandang kami yang bersiap-siap untuk ke Cheras.
Anakanda Iwan datang dengan isterinya semasa aku baru sampai ke rumah. Sambil menjamu selera, aku buka cerita tentang beliau yang senyap di bilik. 'Ida...cuba kamu tengokkan kawan Firdaous tu...dia ngadu sakit kepala...dah seminggu tak baik-baik. Tu ada dalam bilik.' Aku memberitahu isteri Iwan yang kebetulan memang seorang Pegawai Perubatan - doktor la kalau nama glamour dia.
'Bawak pergi hospital la..' Doktor Ida menjawab sambil menyuap nasi.
'Malam-malam ni ada doktor ke nak merawat memeriksa dia?' Tanya Iwan, suaminya pula.
'Ada je...tu sebab ada doktor on-call.' Doktor Ida beritahu.
'Tak apa la...' Aku pula dah mula risau. '...mak andak suruh Firdaous bawak gi hospital malam ni juga.' Aku terus menelefon Firdaous yang beraya di rumah mentuanya di Ampang.
Tidak lama kemudian, Firdaous yang masih berbaju melayu merah menyala itu sampai. 'Kenapa ma?' Dia yang masuk rumah itu terus bertanya.
'Tolong bawak kawan awak tu ke hospital? Kesian mama tengok...kata dia sakit kepala, tapi dah seminggu tak baik-baik. Makin teruk ada la...' Aku bercakap memberitahu sambil sama menapak ke bilik berdekatan membuka menolak daun pintu.
Beliau keluar dari bilik mengikut Firdaous yang sukarela mahu menghantarnya ke hospital Tengku Ampuan Rahimah pada malam itu. Setelah meneguk segelas jus oren yang dihulurkan oleh Iwan kepadanya, dia terus masuk ke dalam kereta bahagian belakang dan berbaring. Nampak memang sungguh dia tak sihat. Iwan pula dengan sukarela meneman Firdaous membawa beliau ke hospital.
'Kamu pergi dulu dengan Firdaous...nanti mak cik dah siap berkemas rumah mak cik datang.' Aku beritahu beliau.
Beliau hanya mengangguk.
Aku memandang kelibat Gen2 merah itu sehingga hilang dari pandangan.
~ bersambung ~
No comments:
Post a Comment